Karier seni mempertahankan diri Bruce Lee

Kung Fu Jun Fan

Lee mula mengajar seni pertahanan diri di Amerika Syarikat pada tahun 1959. Dia menggelar ajarannya Kung Fu Jun Fan (Kung Fu Bruce Lee). Secara asasnya, ia merupakan pendekatan Bruce terhadap seni Wing Chun. Lee mengajar rakan-rakan yang dikenal di Seattle, bermula dengan pengamal seni Judo, Jesse Glover yang masih mengajar sesetengah teknik awal Lee. Taky Kimura menjadi penolong tenaga pengajar Lee yang pertama dan terus mengajar seni dan falsafah Lee selepas Lee meninggal dunia. Lee menubuhkan sekolah pertahanan diri pertamanya di Seattle dan ia dinamakan Institut Kung Fu Lee Jun Fan.

Lee berhenti dari kolej pada musim bunga 1964 dan berpindah ke Oakland untuk tinggal bersama James Yimm Lee. James Lee merupakan senior kepada Lee dan seorang artis seni pertahanan diri yang terkenal di kawasan tersebut. Mereka kemudiannya, berkerjasama untuk menubuhkan studio pertahanan diri Jun Fan di Oakland. James Lee juga memperkenalkan Bruce Lee kepada Ed Parker, artis pertahanan diri Amerika dan pengajur bagi Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach, di mana beliau diperkenalkan ke alam Hollywood.

Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach

Atas jemputan Ed Parker, Lee membuat penampilan di Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach pada tahun 1964 dan menunjukkan kemahiran beliau untuk melakukan tekan tubi secara berturut-turut menggunakan dua jari (iaitu jari besar dan jari telunjuknya) dan kakinya di dalam jarak satu bahu. Di dalam pertandingan tersebut, beliau juga mempersembahkan "One Inch Punch"/"tumbukan satu inci". Lee berdiri secara tegak, dengan kaki kanannya maju ke hadapan dan lutut yang membengkok sedikit, di hadapan seorang pasangan yang tidak bergerak dan berdiri. Tangan kanan Lee dilanjutkan secara separa dan penumbuk kanannya berada lebih kurang dalam jarak 1 inci (2.5 cm) dari dada pasangan tersebut.Tanpa menarik balik tangan kanannya, dia menumbuk pasangannya dengan kuat sambil mengekalkan posisi tubuhnya dan ini menghantar pasangannya jatuh ke belakang dan jatuh ke atas sebuah kerusi yang diletakkan di belakang pasangan itu untuk mengelak kecederaan. Namun begitu, dia tetap jatuh ke atas lantai. Sukarelawan beliau ialah Bob Baker dari Stockton, California. Baker berkata: "Saya telah memberitahu Bruce jangan melakukan demonstrasi seperti ini lagi. Apabila dia menumbuk saya pada kali itu, saya terpaksa meninggalkan kerja dan sebaliknya tinggal di rumah kerana sakit dada yang keterlaluan".

Ia adalah kejuaraan pada tahun 1964 yang menemukan Lee dengan tok guru Taekwondo, Jhoon Goo Rhee pada pertama kalinya. Mereka menjadi sahabat, di mana kedua-duanya saling memberi manfaat dalam seni pertahanan diri. Rhee mengajar Lee "side kick" manakala Lee mengajar Rhee tumbukan "non-telegraphic".

Lee membuat kemunculan di Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach dan melakukan pelbagai demonstrasi termasuklah "penumbuk yang tidak dapat dihentikan" terhadap juara karate dunia USKA Vic Moore. Lee didakwa memberitahu Moore, yang dia akan menumbuk ke arah muka dan apa yang perlu dilakukan oleh dia hanyalah menghalang tumbukan tersebut. Lee melangkah ke belakang dan bertanya sama ada Moor telah bersedia. Apabila Moore mengangguk tanda bersedia, Lee meluncur ke arahnya sehinggalah beliau berada di dalam jarak untuk menumbuk. Beliau kemudiannya menumbuk muka Moore, namun berhenti sebelum impak tumbukan tersebut. Pada cubaan ke-8, Moore gagal menghalang sebarang tumbukan. Walau bagaimanapun, Moore dan tok guru Steve Mohammed mendakwa yang Lee telah memberitahu Moore yang dia akan menumbuk secara terus ke arah badannya di mana Moore telah menghalang tumbukan tersebut. Lee cuba membuat satu lagi tumbukan dan Moore turut menghalang tumbukan tersebut. Tumbukan ketiga Lee ke arah muka Moore pula tidak berada di dalam jarak serangan. Moore dan ramai lagi yang berada di dalam bilik pada masa itu menyatakan Lee tidak pernah berjaya menyerang Moore sebaliknya Moore pula yang menyerang Lee setelah dia mencuba. Moore mendakwa Lee menyatakan dia merupakan warga Amerika terpantas yang pernah dilihatnya. Krew media Lee memainkan siaran ulangan secara berturut-turut di mana tumbukan Lee tidak berada di dalam jarak serangan dengan tujuan melindungi imej bintang beliau.

Pertarungan dengan Wong Jack Man

Di Oakland, California pada tahun 1964 di Chinatown, Lee mempunyai satu pertarungan persendirian dengan Wong Jack Man, iaitu pelajar kepada Ma Kin Fung yang terkenal dengan Xingyiquan, Shaolin Utara dan Tai Chi Quan. Menurut Lee, komuniti cina di sana telah mengeluarkan satu pernyataan untuk menghalang dia daripada mengajar kung fu kepada masyarakat bukan cina. Apabila beliau menolak untuk mematuhi pernyataan tersebut, mereka mencabar beliau untuk mengadakan satu pertarungan dengan Wong. Syaratnya adalah sekiranya Lee kalah, beliau hendaklah menutup pusat latihannya manakala sekiranya Lee menang, beliau dibenarkan untuk terus mengajar masyarakat orang putih dan orang lain. wong menafikan kejadian ini, menyatakan bahawa dia yang mahu mencabar Lee selepas terdengar Lee bercakap besar semasa sesi demonstrasinya di sebuah teater Chinatown yang beliau dapat mengalahkan sesiapa sahaja di San Francisco dan Wong sendiri tidak mempunyai diskriminasi terhadap orang putih dan orang bukan cina. Lee mengemukakan komennya, "Kertas itu mengandungi semua nama sifu dari Chinatown. Akan tetapi, mereka tidak menakutkan saya".

Individu-individu yang diketahui, yang telah menyaksikan pertarungan tersebut termasuklah Cadwell, James Lee (rakan sekutu beliau, tiada sebarang hubungan persaudaraan) dan William Chen, seorang guru di dalam Tai Chi Quan. Wong dan William Chen menyatakan bahawa pertarungan tersebut berlangsung selama 20-25 minit. Wong mendakwa pada asalnya dia menjangka satu pertarungan yang serius tetapi sopan. Walau bagaimanapun, Lee telah menyerang dia secara agresif dengan motif untuk membunuh, bermula daripada berjabat tangan pada permulaan pertarungan, di mana beliau berpura-pura membalas balik tawaran jabat tangan tradisional Wong dengan menerimanya dan sebaliknya menukar tangannya kepada senjata lembing yang membidik mata Wong. Dipakasa untuk melindungi nyawanya, Wong tidak menyerang Lee dengan daya yang boleh membawa maut apabila mempunyai peluang untuk melakukannya kerana tindakan sedemikian boleh membawa hukuman penjara. Pertarungan tersebut ditamatkan dengan Lee yang kehabisan tenaga dan bukannya tumbukan pemenang oleh mana-mana pelawan. Bagaimanapun, menurut Bruce Lee, Linda Lee Cadwell dan James Lee, pertarungan tersebut hanya berlangsung selama 3 minit dengan keputusan menang menyebelahi Lee. Linda menyatakan bahawa "pertarungan diteruskan tanpa mengehadkan jenis rangkulan atau teknik kung fu yang digunakan. Ia mengambil masa selama 3 minit. Bruce menghimpit lelaki itu ke atas tanah dan bertanya sama ada dia sudah berputus asa dan lelaki tersebut mengatakan yang dia sudah".

Selepas beberapa minggu pertarungan tersebut, Lee memberi satu temu ramah yang dia telah mengalahkan seorang lelaki yang tidak bernama dan Wong mengatakan bahawa lelaki itu dengan jelasnya merujuk kepada dia. Sebagai respon Wong, dia mengeluarkan pernyataannya mengenai pertarungan itu di dalam Chinese Pacific Weekly, sebuah surat khabar cina di San Francisco dan mengeluarkan satu jemputan untuk perlawanan awam sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan pernyataannya itu. Lee tidak membalas jemputan tersebut walaupun beliau mempunyai reputasi untuk membalas provokasi yang dikenakan ke atasnya dengan ganas. Selain itu, tiada pengumuman awam dibuat tentang perlawanan itu meskipun Lee terus mengajar orang putih.

Jeet Kune Do

Jeet Kune Do berasal dari tahun 1967. Selepas penggambaran musim pertama "The Green Hornet", Lee mendapati dirinya menganggur, lalu membuka Institut Kung Fu Jun Fan. Pertarungan kontroversi antara beliau dengan Wong Jack Man mempengaruhi falsafahnya di dalam seni mempertahankan diri. Lee membuat kesimpulan bahawa pertarungan tersebut mengambil masa yang terlalu lama dan dia gagal untuk mencapai potensi diri menggunakan teknik Wing Chun sendiri. Beliau berpendapat seni pertahanan diri tradisional adalah terlalu tegar dan formalistik untuk digunakan secara praktikal dalam pertarungan jalanan yang huru-hara. Lee mengambil keputusan untuk membangunkan satu sistem dengan penekanan dari segi "praktikaliti, fleksibiliti, kepantasan dan efisien". Beliau mula menggunakan teknik latihan yang berlainan seperti latihan angkat berat unutk kekuatan, latihan larian untuk ketahanan, regangan badan untuk fleksibiliti dan lain-lain yang sering diadaptasi, termasuklah lawan pedang dan teknik asas tinju.

Lee menekankan apa yang beliau panggil sebagai "gaya yang tiada gaya". Ini terdiri daripada penghapusan pendekatan formal di mana Lee menganggap yang ia merupakan gaya tradisional. Lee merasakan sistem yang kini dipanggil Kung Fu Jun Fan lagi tegar dan kemudiannya mengembangkan ia kepada suatu falsafah dan seni pertahanan diri yang digelar Jeet Kune Do atau Cara Pintasan Penumbuk. Ia merupakan satu istilah yang disesal oleh beliau, kerana Jeet Kune Do menekankan parameter spesifik yang dilambangkan oleh gaya, di mana idea seni pertahanan diri miliknya sepatutnya wujud di luar parameter dan tanpa sebarang batasan.

Kecergasan dan nutrisi

Pada ketinggian 173 cm dan 64 kg, Lee dikenali dengan kecergasan fizikal dan semangatnya, yang dicapai melalui dedikasi regimen senaman untuk menjadi sekuat yang boleh. Selepas pertarungannya dengan Wong Jack Man pada tahun 1965, Lee mengubah pendekatannya terhadap latihan seni pertahanan diri. Lee merasakan ramai artis seni pertahanan diri pada zamannya tidak menghabiskan masa yang cukup untuk mengekalkan tahap fizikal. Lee memasukkan elemen kecergasan secara menyeluruh - kekuatan otot, ketahanan otot, ketahanan kardiovaskular dan fleksibiliti. Beliau menggunakan teknik bina badan tradisional untuk membina ketumpatan dan berat otot, namun tidak dilakukan keterlaluan kerana ini akan mengurangkan kepantasan atau fleksibiliti. Pada masa yang sama, dari segi keseimbangan, Lee menasihatkan bahawa persediaan mental dan rohani adalah amat penting untuk kejayaan latihan fizikal di dalam seni pertahanan diri. Di dalam "Tao of Jeet Kune Do", beliau menulis:

Latihan merupakan salah satu fasa yang paling diabaikan oleh para olahragawan. Terlalu banyak masa digunakan untuk melatih kemahiran dan terlalu sikit masa digunakan untuk melatih seseorang untuk penyertaan. ... JKD, pada akhirnya bukanlah teknik remeh-temeh, tetapi pembangunan rohani dan fizikal yang tinggi.

Menurut Linda Lee Cadwell, selepas Lee berhijrah ke Amerika Syarikat, beliau mula mengambil perhatian serius terhadap nutrisi dan mempunyai minat dalam makanan kesihatan, minuman tinggi protein, makanan tambahan vitamin dan mineral. Beliau kemudiannya membuat kesimpulan yang mana untuk badan mencapai prestasi tinggi, seseorang itu tidak boleh menjanakannya dengan diet makanan ringan, dan dengan makanan tenaga yang salah, badan seseorang itu akan mempunyai prestasi lembap atau selekeh. Lee juga mengelak makanan yang dibakar dan tepung yang ditapis, dengan menyatakan bahawa makanan-makanan tersebut hanya menambah kalori yang tidak berguna kepada badannya.